NEWS

Ke arah mendukung pengusaha agrimakanan tempatan

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 12 Mac. – Keluaran industri agrimakanan tempatan mencapai peningkatan sebanyak sembilan peratus, yang bernilai BND164 juta pada tahun 2021, berbanding dengan BND150 juta, pada tahun 2020.

Pada masa ini, sejumlah 397 syarikat agrimakanan berdaftar, di bawah Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, terdiri daripada Pengusaha Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana yang mengeluarkan produk tambah nilai juga proses daripada hasilan ternakan dan tanaman juga produk makanan dan minuman proses.

Sehubungan itu, bagi menghargai pengusaha-pengusaha agrimakanan yang banyak menyumbang pada pertumbuhan ekonomi Negara Brunei Darussalam, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Bahagian Industri Agrimakanan dan Pengurusan Akses Pasaran, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan mengadakan acara Hari Pengusaha Agrimakanan, yang bertemakan ‘Industri Agrimakanan Menjana Pertumbuhan Ekonomi Negara’.

Hadir selaku tetamu kehormat, seterusnya merasmikan Hari Pengusaha Agrimakanan, yang berlangsung di ibu pejabat Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, di sini, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Apong.

Pada acara tersebut, tetamu kehormat menyampaikan Sijil Pengusaha Cemerlang kepada syarikat-syarikat yang berjaya mencapai peningkatan pengeluaran yang cemerlang, pada tahun 2021.

Lima buah syarikat yang menerima sijil tersebut, PDS Abattoir Sdn. Bhd.; BMC Food Industries Sdn. Bhd.; dan Ideal Food Industries Sdn. Bhd. bagi kategori produk hasilan ternakan, manakala Sabli Food Industries (B) Sdn. Bhd. penerima sijil, di bawah kategori produk hasilan tanaman; dan Kingston Beverage dan Creamery Sdn. Bhd., iaitu pengusaha produk aiskrim, bagi kategori di bawah kategori lain-lain makanan dan minuman proses.

Sementara itu, antara aktiviti-aktiviti yang diadakan pada acara tersebut, termasuk pameran dan jualan produk pengusaha tempatan, tunjuk cara mempelbagaikan penyediaan produk-produk pengusaha juga aktiviti pemadanan perdagangan (business matching) di antara pengusaha dengan pembekal bahan mentah (peladang dan penternak) juga peruncit (retailers).

Pameran dan jualan produk pengusaha tempatan yang mengambil tempat di Kantin Dewan Muhibbah, Jabatan Daerah Brunei dan Muara itu melibatkan seramai 17 syarikat menyertai aktiviti pameran juga jualan produk-produk yang diusahakan, seperti sosej ayam, produk ayam rendang dalam tin, sos cili, aiskrim, jus, rempah masakan dan produk bakeri.

Acara tersebut merupakan salah satu inisiatif KSSUP untuk mendukung pengusaha agrimakanan tempatan, dalam membantu mereka meningkatkan pengeluaran, mengembangkan saluran pasaran produk dalam rantaian bekalan dan mewujudkan jaringan perhubungan (networking) yang lebih luas.

Acara itu juga sebagai platform kepada pengusaha-pengusaha agrimakanan tempatan, bukan sahaja bagi yang sudah lama bertapak dalam industri ini, malahan juga pengusaha baharu yang memulakan perusahaan untuk memperluaskan perniagaan dan pemasaran produk mereka dengan mempromosikan produk-produk yang dikeluarkan.

Turut hadir, Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap dan Pengarah-pengarah di bawah KSSUP.

 

Minister of Primary Resources and Tourism Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Apong in a group photo